ISU PENYELEWENGAN MASA DALAM KALANGAN GURU DISEKOLAH.
Antara isu sahsiah yang kurang diberi
perhatian oleh pihak tertentu iaitu penyelewengan masa dalam kalangan guru
disekolah. Isu ini menjadi isu sahsiah pilihan dalam kumpulan. Antara pandangan
guru dan pelajar terhadap isu penyelewengan masa yang dilakukan oleh guru
secara langsung mahupun secara tidak langsung iaitu:
Guru masuk lewat ke kelas.
Dewasa ini
sering menjadi bualan tentang masalah yang melibatkan sahsiah guru yang kian
hari semakin menggugat kredibiliti profesion perguruan Malaysia. Melihat kepada
masalah penyelewengan masa dalam kalangan guru di sekolah ini ianya melibatkan
pelbagai bentuk kesalahan yang dilakukan oleh guru yang tidak bertanggungjawab
ini. Sebagai contoh yang paling hampir masalah guru yang lewat hadir ke kelas.
Masalah ini tidak boleh dipandang
ringan kerana perkara ini terkandung dalam etika pengurusan masa yang terangkum
dalam Pekeliling berkaitan Etika Profesion Perguruan (Pembangunan Sahsiah,
2011:209). Kod etika ini merangkumkan perkara yang perlu dipatuhi oleh guru
seperti waktu hadir ke sekolah, waktu hadir ke kelas serta mengajar ikut jadual
waktu yang ditetapkan. Semua ini termasuk dalam pengurusan masa dan ketetapan
masa yang telah termaktub dalam Etika Profesion Perguruan. Masalah
penyelewengan waktu dalam kalangan guru sering dapat dilihat melalui kelewatan
guru masuk ke kelas, kelewatan guru datang ke sekolah dan sebagainya.
Berdasarkan kajian sebelum ini,
masalah berkaitan penggunaan masa guru ini sering dikaitkan dengan penggunaan
masa guru ke arah aktiviti yang tidak berfaedah terutamanya semasa berada dalam kawasan sekolah. Sebagai
contoh dapat dilihat guru-guru yang bermasalah ini menggunakan masa pengajaran
dan pembelajaran yang sepatutnya mereka berada di dalam kelas tetapi digunakan
untuk bersembang serta bergosip tentang perkara yang tidak sepatutnya menjadi
bualan di sekolah. Sedangkan sesi pengajaran dan pembelajaran dibiarkan habis
begitu sahaja. Dapat dilihat bahawa sahsiah yang dimiliki guru ini mencemarkan
profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi di mata masyarakat.
Dalam Pembangunan
Sahsiah ada menyatakan bahawa seorang guru yang profesional harus mempunyai
tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan
sahsiah (Robiah,1998). Kenyataan ini jelas menegaskan bahawa guru sebagai role model kepada muridnya perlu membetulkan
sahsiah terlebih dahulu. Sebagai contoh seorang guru haruslah menunjukkan sikap
menepati masa kepada muridnya bukan sebagai seorang yang tidak menepati masa.
Kerana perkembangan pelajar adalah melalui pemerhatian keadaan sekeliling yang
dijadikan ikutan oleh pelajar itu dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menurut Yahya dan Zainuddin(2003)
melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996 ada menjelaskan :
“Para guru telah diamanahkan
untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi
penyebaran ilmu, bahkan juga dalam pembangunan sahsiah anak didiknya. Justeru
itu guru perlu terlebih dahulu memiliki sahsiah atau personaliti yang unggul
sebelum berusaha untuk membentuk sahsiah para muridnya melalui proses
pendidikan.”
Guru berniaga dalam kawasan sekolah.
Guru berniaga
dalam kawasan sekolah semasa waktu persekolahan juga merupakan masalah yang
berkaitan dengan penyelewengan masa dalam kalangan guru di sekolah. Sememangnya
manusia tidak pernah puas dengan pencapaian yang di kecapi telah membuatkan
para guru ini melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan tetapi dalam konteks
ini perkara ini dilihat sangat menyimpang kerana perbuatan ini akan mengabaikan
tanggungjawab serta matlamat sebenar guru itu datang ke sekolah iaitu untuk mengajar.
Melihat kepada perkara ini, guru
perlulah bertanggungjawab dengan tugas yang telah diamanahkan kepadanya untuk
mendidik pelajar bukannya menjadi juru jual di sekolah. Dalam buku Peperiksaan Penilaian tahap Kecekapan Skim
Perkhidmatan Guru tulisan Mok Soon Sang ada menekankan guru
bertanggungjawab terhadap pekerjaannya, iaitu akauntabiliti terhadap kurikulum
yang telah ditugaskan untuk dilaksanakan olehnya malahan juga guru juga perlu
mendalami tugas yang ditetapkan oleh pihak sekolah terhadapnya. Jelas dapat
dilihat guru perlu bertugas sebagai pendidik bukannya sebagai juru jual di
sekolah. Bukan itu sahaja perkara ini juga ada terkandung dalam Etika Profesion
Perguruan iaitu guru tidak boleh melakukan kesalahan tata kelakuan seperti
menguruskan perniagaan dalam waktu pejabat ataupun waktu pengajaran dan
pembelajaran. Kerana dapat ditafsirkan seorang peniaga ini akan menjadikan
keuntungan sebagai matlamat utamanya. Perkara ini sama sekali telah memesongkan
niat sebenar seorang guru hadir ke sekolah. Justeru itu guru ini tidak lagi memberikan
komitmen terhadap waktu yang sepatutnya digunakan untuk mengajar tetapi telah
disalah gunakan untuk berniaga.
Waktu yang diperuntukkan oleh pihak
atasan kepada guru perlu dimanfaatkan kepada perlakuan yang boleh meningkatkan
prestasi kurikulum mahupun kokurikulum pelajar sekali gus meningkatkan prestasi
sekolah. Justeru itu guru memberikan sepenuh masa dan kudratnya dengan
menggunakan masa yang ada dengan perkara yang membantu pelajar untuk maju dalam
hidup bukannya menjalankan perniagaan yang hanya menguntungkan diri sendiri
tanpa menghiraukan matlamat guru datang ke sekolah iaitu untuk mendidik.
Malahan
guru juga boleh menggunakan masa yang ada untuk bertindak sebagai ejen kepada
hubungan sekolah dengan ibu bapa. Perkara ini penting kerana penglibatan guru
sebagai orang tengah kepada pelajar dengan ibu bapa dapat memberikan tanggapan
yang positif terhadap profesion perguruan di sesebuah sekolah itu. Perkara ini
berlaku kerana guru akan lebih hampir dengan ibu bapa dan sekali gus mudah bagi
guru untuk mendalami masalah yang dihadapi oleh pelajar yang saling berhubung
kait dengan prestasi pelajar tersebut.
Guru berbual di kantin dan keluar sekolah sewaktu P&P.
Bukan itu sahaja
guru yang bermasalah ini juga sering duduk di kantin sekolah untuk bersembang
perihal yang tidak penting sedangkan sesi pengajaran dan pembelajaran dibiarkan
habis begitu sahaja. Tidak kurang juga terdapat segelintir guru yang keluar masuk
dari kawasan sekolah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung.
Menurut Etika Profesion Perguruan
yang telah ditetapkan, seorang guru itu tidak boleh bertingkah laku dengan
tingkah laku yang mencemarkan profesion perguruan. Hal ini demikian kerana guru
yang menghabiskan banyak masa berbual di kantin menyebabkan kegagalan pihak
guru ini untuk mengawal pelajarnya kerana guru ini tidak berada hampir dengan
pelajarnya kerana sibuk berbual perkara yang tidak menyumbangkan peningkatan
prestasi pelajar serta sekolahnya. Malahan akan timbul masalah yang lebih besar
lagi jika guru yang sepatutnya berada di dalam kelas didapati keluar dari
kawasan sekolah untuk melepak dan sebagainya. Masyarakat sekeliling akan mula
menimbulkan persoalan tentang kredibiliti seorang guru yang membuang masa sedangkan
waktu itu sepatutnya guru itu berada di sekolah. Perkara ini sudah semestinya
akan menjatuhkan martabat serta pandangan masyarakat yang menyaksikan perlakuan
guru yang tidak bertanggungjawab ini. Seperti sedia maklum Kod Etika Profesion
Perguruan ini dibentuk adalah bertujuan untuk menjunjung tinggi martabat
profesion perguruan. Menurut tulisan R. Hermawan (1979) dalam buku Profesi Perguruan ada menekankan bahawa:
“...kod etika ini dicipta supaya
dapat menjaga pandangan dan kesan daripada pihak luar atau masyarakat, supaya
masyarakat ini tidak memandang rendah atau remeh terhadap profesion perguruan
ini.”
Jelas
dapat dilihat melalui petikan ini profesion perguruan ini adalah satu bidang
yang sangat disanjung tinggi martabatnya. Tetapi apakah pandangan serta
tanggapan orang ramai serta masyarakat jika melihat guru tidak berada di
sekolah pada waktu yang sepatutnya. Perkara seperti ini sudah pastinya akan
mengakibatkan tanggapan orang ramai serta masyarakat terhadap tingginya
martabat bidang perguruan ini akan tercemar dan menurun.
Malahan perlakuan guru ini juga akan
mengundang masalah lain yang lebih berat seperti murid ponteng dan sebagainya.
Dapat dilihat pelajar yang ingin belajar akan mula bosan dengan sikap guru yang
sering tidak masuk ke kelas dan akhirnya menyebabkan pelajar bergiat dengan
gejala ponteng. Menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam keratan akhbar Utusan Malaysia (2001, Mac 23) bertajuk
Guru antara punca murid ponteng berkata, pihak sekolah tidak boleh menyalahkan
murid semata-mata, kerana tidak mustahil kegagalan guru mewujudkan suasana
pembelajaran yang menarik turut menjadi punca pelajar ponteng sekolah. Melihat
daripada ucapan ini dapat disimpulkan guru menjadi punca kepada pelajar ponteng
kerana tidak berjaya menarik minat pelajar untuk belajar sedangkan guru itu
sendiri tidak masuk ke kelas kerana sibuk melepak di kantin dan berada di luar
sekolah semasa waktu P&P sepatutnya berlangsung. Malahan kemerosotan
prestasi pelajar juga boleh dikaitkan dengan perkara ini kerana menurut Muller
et. Al. (2001) dalam buku Pembangunan Sahsiah ada menyelitkan guru-guru yang
mempamerkan ciri-ciri keperibadian yang merosot menunjukkan perkaitan dengan
kemerosotan pencapaian pelajar.
Sungguh malang rasanya jika terdapat
guru yang sering melakukan penyelewengan masa dalam menjalankan tugas sebagai
pendidik kerana kesediaan guru itu untuk berkhidmat tidak melambangkan
ketinggian martabat profesion perguruan. Bukan itu sahaja, guru tersebut juga
susah untuk memberikan komitmen dalam menjalankan tugas sebagai seorang
pendidik anak bangsa yang seharusnya mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai yang
tinggi di dalam diri agar profesionalisme dan kredibiliti mereka sebagai warga
pendidik dapat dikekalkan dan dimantapkan.
PERKAITAN
TINGKAH LAKU GURU DENGAN NILAI BITARA
Guru memulakan dan menamatkan kuliah
tepat pada masanya dan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Guru tidak menggunakan
masa yang sepatutnya dengan ‘mencuri tulang´ atau membuang masa dengan
melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan hal akademik.
Integriti
Dalam nilai bitara, integriti adalah
suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi mendukung prinsip moral tinggi
atau tahap profesionalisme. Ianya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan,
yang sempurna dan tidak boleh dirosakkan.
Secara ringkasnya, ia
adalah suatu pemilikan kualiti yang konsisten, misalnya amalan belajar adalah
sebahagian daripada ibadah kita sebagai umat Islam di mana sesungguhnya setiap
amal itu bermula dengan niat. Segala pemikiran, amalan dan tingkah laku ialah
ibadah jika dilakukan dengan niat kerana Allah S.W.T. Intai keredaan Tuhan
setiap masa. Ini juga termaktub di dalam perkara pertama Rukun Negara kita
iaitu Kepercayaan kepada Tuhan yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Ibadah
juga membawa maksud membuat segala perkara yang baik dalam kehidupan seharian.
Sebagai guru, personaliti Bitara
memainkan peranan penting untuk menjamin masa depan yang cemerlang. Dalam
membentuk personaliti Bitara ini, nilai integriti mempunyai empat ciri guru
yang berkesan iaitu bersikap adil, amanah, akauntabiliti dan telus. Oleh itu
guru perlulah adil dalam menjalankan tugas dan perlu mengikuti masa yang telah
ditetapkan serta tidak mencuri tulang terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas.
Dalam pembentukan
sahsiah, nilai-nilai integriti amat penting di tanam dalam jiwa guru-guru.
Integriti juga adalah suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi
mendorong prinsip moral tinggi atau tahap profesionalisme. Ianya merupakan satu
kesatuan yang tidak boleh dipisahkan, yang sempurna dan tidak boleh dirosakkan.
Secara ringkasnya, ia adalah suatu pemilikan kualiti yang konsisten.
Profesional
Profesional
Profesional merujuk kepada kemampuan dan
kemahiran dalam profesion serta melibatkan kemahiran dan kecekapan. Nilai ini
membawa maksud melatih diri agar mencapai tahap kompetensi yang dikehendaki.
Apakah tahap kompetensi yang dikehendaki dalam profesion anda? Tidak kiralah
sebagai warga UPSI mahupun sebagai guru sekolah, anda haruslah menunjukkan
minat yang mendalam untuk mempelajari perkara baru dan mengikuti sesi
pembelajaran dan pengajaran dengan sepenuhnya. Hasil tugasan perlu meningkat
secara berterusan. Tahukah kita bahawa hampir semua syarikat swasta kini
memastikan setiap pekerja menghasilkan tugasan yang berterusan dan sekiranya
tidak memenuhi piawaiannya, pekerja tersebut akan ditamatkan kontrak.
Nilai profesional
mempunyai empat ciri guru yang berkesan iaitu beretika, iltizam, cinta ilmu dan
kompeten. Guru mestilah sentiasa mengutamakan kepentingan organisasi.
Berdasarkan konteks sini, organisasi adalah sekolah kita. Maruah guru yang lain
sebagai rakan sekerja dan murid-murid juga mesti dijaga. Ini termasuk tidak
mengaibkan markah murid-murid kepada umum dan tidak bercakap sumbang di
belakang mereka. Bersikap iltizam atau komited adalah menjalankan tugasan
dengan penuh semangat dan dedikasi. Skop tugasan guru adalah pengajaran dan
pembelajaran. Tugasan ini perlu dirancang dan dilaksanakan dengan terperinci
dan teliti.
Guru perlu melaksanakan
tugasan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati tanpa mengira masa. Sebagai
contoh, anda mungkin dikehendaki menjalankan aktiviti pada hujung minggu.
Usahlah menganggapnya sebagai beban yang amat berat tetapi fikirkan sebagai bukan
selalu dan sebahagian daripada tugas guru untuk menyampaikan ilmu kepada
murid-murid anda. Pastikan juga potensi diri dapat dipupuk dan direalisasikan.
Jadikan diri sebagai contoh dan teladan kepada rakan sekerja terutamanya
murid-murid. Guru kini dikehendaki menjalankan penyelidikan dalam bidang tugas
mereka. Maka penyelidikan haruslah dijalankan dengan sempurna di samping
menghadiri sekurang-kurangnya dua wacana ilmu setahun untuk menghasilkan
tugasan dalam pelbagai bentuk. Kaedah tugasan yang digunakan mestilah
mengutamakan sumber maklumat. Berdasarkan cara ini, kita dapat melaksanakan
strategi yang boleh membangunkan minda murid-murid dan diri sendiri.
Rangkaian dengan rakan
sekerja dan murid-murid juga dibina dan pastikan diri selalu membaca dan mencari
sendiri. Mempunyai sikap kompeten adalah dengan menyiapkan tugasan yang
berkualiti dan cekap dalam jangka masa yang ditetapkan. Guru juga harus
mencapai tahap kecekapan dalam tempoh yang ditentukan. Sebagai contoh,
memastikan pembelajaran yang disampai kepada murid-murid, dapat difahami dengan
baik dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Guru juga digalakkan menyampaikan ilmu dan
kemahiran baru kepada rakan sekerja dan murid-murid. Tidak semestinya sebagai
guru hanya menggunakan rangka instruksi dan rangka kursus yang dahulu. Untuk
memastikan pembelajaran anda adalah bersifat kontemporari dan sepanjang zaman,
anda harus meningkatkan dan memperkemas diri anda dengan ilmu dan kemahiran
baru yang relevan dengan tajuk pembelajaran anda.
Nilai Semangat Berpasukan.
Seangat berpasukan adalah sekelompok
modal insan yang bekerja tolong-menolong di bawah satu kepimpinan, untuk
mencapai suatu matlamat dalam jangka masa tertentu dan menggunakan kaedah
tertentu.
Setiap ahli kumpulan mestilah saling
menghormati dan mengelak daripada bercakap buruk atau fitnah di belakang antara
satu sama lain. Amalkan sikap bekerjasama dalam membuat sesuatu keputusan dan
bertolak-ansur antara ahli kumpulan. Dengan menganggap mereka sebagai ahli
keluarga sendiri, ianya menjadi mudah untuk menegur secara hikmah rakan yang
terpesong daripada norma kumpulan. Guru juga perlu mengingati setiap kebaikan
rakan kumpulan dan sumbangan yang mereka berikan. Terdapat empat ciri guru yang
berkesan untuk nilai semangat berpasukan iaitu muafakat, fokus matlamat,
hormat-menghormati.
Mempunyai sikap
muafakat dalam kerja berkumpulan dapat menyelesaikan masalah secara bersama.
Dalam kalangan ahli rakan sekumpulan, salah faham dan prasangka dapat dielakkan.
Galakkan dan bantuan juga dapat diberikan kepada rakan sekumpulan dalam meningkatkan
pencapaian akademik. Selain itu, murid junior yang kurang pengalaman juga dapat
dibimbing serta diberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam kegiatan
akademik. Walaupun murid junior tiada di dalam sesuatu kelas, sebagai seorang guru
yang mempunyai matlamat yang jelas boleh membantu murid-murid yang kurang
pengalaman untuk terlibat dalam kumpulan yang lebih berpengalaman.
CARA
MENINGKATKAN SAHSIAH GURU DENGAN MENGAITKAN TEORI REALITIDAN TEORI TERAPI
Untuk
membantu masalah sahsiah guru dan membentuk semula sikap guru di sekolah, teori
pilihan (choice theory) dan terapi
realiti (reality therapy) boleh digunakan
oleh guru dalam membentuk kembali sahsiah diri. Menurut Glasser dan Ahmad
Jazimin (2010), teori pilihan menekankan tingkah laku individu berasal daripada
dunia dalaman atau quality world.
Dunia luaran mempengaruhi individu dalam membuat pilihan untuk dirinya. Lima
keperluan asas dunia dalaman ialah keperluan asas, keperluan untuk disayangi
dan menyayangi, keinginan untuk dihargai, inginkan kebebasan, kegembiraan, dan
ingin terus hidup.
Terapi realiti pula ialah kaedah
kaunseling dan psikoterapi yang boleh digunakan untuk membantu guru berdasarkan
strategi akronim RWDEP. R merujuk kepada relationship
iaitu mewujudkan perhubungan erat , W merujuk kepada wants, needs and perception iaitu tentang kehendak, keperluan, dan
persepsi. D pula merujuk kepada doing and
direction iaitu meneroka tingkah laku secara keseluruhan yang merangkumi
aspek tingkah laku, pemikiran, perasaan, dan fisiologi. E pula merujuk kepada evaluation iaitu membantu menilai
tingkah laku. Yang terakhir ialah P iaitu planning
and commitment iaitu plan bertindak dan komitmen dalam membuat perubahan
tingkah laku.
Teori kaunseling yang boleh digunakan
untuk membantu dan membentuk semula sahsiah guru ialah teori terapi realiti.
Hubungan antara teori pilihan dan terapi realiti ialah teori pilihan
membincangkan cara manusia itu sendiri bertingkah laku, terapi realiti pula
digunakan untuk member kaunseling dan membantu orang lain. Terapi ini adalah
satu cara di mana seseorang perlu memahami tingkah laku dan membuat keputusan
yang tepat dalam hidupnya. Guru boleh memberikan tumpuan dalam tingkah lakunya
berdasarkan terapi realiti. Tingkah laku yang dipilih oleh guru perlu sesuai
dengan dirinya sendiri. Dalam terapi realiti mempunyai suatu proses. Proses ini
merujuk kepada prosedur WDEP.
Akronim WDEP adalah akronim yang
digunakan sebagai suatu strategi dalam terapi realiti ini. Ia boleh digunakan
untuk membantu dirinya sendiri dan untuk membantu orang lain. Akronim W merujuk
kepada wants, needs and perception (kehendak,
keperluan, persepsi,). D merujuk kepada direction
and doing (terarah dan lakukan) manakala E pula sebagai evaluation iaitu penilaian dan yang
terakhir sekali ialah P yang merujuk kepada planning
and commitment iaitu pelan bertindak dan komitmen (Wubbolding dan
Brickell.,1999).
Suasana kaunseling
perlu diwujudkan agar kepercayaan, penerimaan, dan proses dalam membantu guru
membentuk sahsiah dapat dijalankan dengan lancar dalam menggunakan proses WDEP.
Langkah-langkah dalam terapi realiti yang menggunakan strategi WDEP ialah seperti
berikut:
i.
Suasana
perbincangan yang kondusif perlu diwujudkan.
Untuk membantu guru membentuk sahsiah mereka kembali
individu yang bertanggungjawab contohnya seperti pengetua perlu mewujudkan sesi
perbincangan dalam suasana kondusif iaitu perbualan, perbincangan dan
perhubungan yang mesra, menunjukkan sikap empati, focus pada isu yang dibincangkan,
bertukar cerita dan boleh menggunakan sedikit humor. Individu yang memberi
kaunseling kepada guru berkenaan perlu mengelak dari berhujah dalam jangka masa
yang lama, mengkritik guru tersebut dan menuduh guru tersebut. Hal ini akan
menyebabkan suasana yang kondusif tidak akan berlaku.
ii.
Penerokaan
terhadap kehendak, keperluan dan persepsi.
Penerapan dalam strategi realiti bermula pada
peringkat W iaitu wants needs and
perception. Pada peringkat ini kaunselor akan meneroka kehendak, keperluan
dan persepsi guru tersebut berkenaan hidupnya. Harapan guru tersebut akan
diteroka. Kaunselor akan berkongsi dari segi sejauh manakah keperluan asas guru
psikologi guru tersebut mengikut terapi realiti. Contohnya keperluan untuk
menyayangi dan disayangi, keperluan untuk membuat pilihan dan keperluan untuk
menghargai dan dihargai. Hal-hal yang sebegini dapat melahirkan perasaan
gembira dan ia dapat membuatkan guru itu berfikir sejauh manakah kehidupan ini
dapat diteruskan hasil daripada keperluan yang dapat dipenuhi. Hasil daripada
perbincangan yang diadakan oleh guru tersebut dan kaunselor, perasaan
tanggungjawab dalam diri untuk meneruskan pilihan akan datang. Hal ini dapat
membantu guru dalam membentuk matlamat dalam dirinya terutama dalam menguruskan
masa dengan betul.
ii.
Kaunselor
meneroka arah tuju guru (doing and directio
Dalam proses ini pula,
pengalaman masa lampau perlu dilihat untuk membentuk masa hadapan. Beberapa
perkara perlu dilihat semasa proses ini berlaku. Dari segi perasaan, guru
hendaklah benar-benar cuba untuk memfokuskan diri mereka untuk mencapai
matlamat tersebut. Ini bermakna mereka perlu menyediakan diri mereka dari segi
emosi agar matlamat tersebut dapat dicapai. Dari segi emosi pula, sokongan
keluarga tidak kurang pentingnya. Selain itu, guru juga hendaklah mempunyai
pemikiran yang positif dan sentiasa yakin bahawa matlamat mereka akan tercapai.
iv.
Membuat
penilaian terhadap diri (Evaluation)
Setelah kaunselor memberikan maklumat tentang usaha
yang akan dilakukan oleh guru untuk membentuk sahsiahnya, maka penilaian
spesifik akan dibuat terhadap perlakuan yang akan dijalankan. Oleh sebab itu, guru
hendaklah memikirkan beberapa halangan yang akan dihadapi oleh mereka untuk
mencapai matlamat yang diingini Kaunselor bukan hanya menilai
tingkah laku tetapi ia juga melibatkan persepsi dan komitmen guru itu untuk berubah.
Penilaian itu perlulah dibuat secara berterusan.
v. Berbincang
dengan guru tentang pilihan untuk membuat tindakan (planning and commitment)
Yang terakhir sekali dalam penggunaan terapi ini
ialah menggunakan konsep P iaitu plan and
action. Kaunselor boleh membantu guru membuat perancangan berasaskan
persetujuan untuk berubah kepada sahsiah yang lebih baik. Perancangan yang
dirangka haruslah mudah, boleh dicapai dan dapat diukur. Ia juga boleh
mendorong diri guru untuk melibatkan dirinya dalam perancangan tersebut.
Perancangan tersebut juga perlu dikawal dan kaunselor haruslah bertanggungjawab
dengan perancangannya. Setiap perancangan yang dirancang oleh kaunselor dan
guru perlu konsisten. Pelan ini perlu dinilai dan disemak juga dengan
konsistennya. Guru itu perlulah memberikan komitmen terhadap segala
perancangannya terutama dalam menyelesaikan masalah penyelewengan masa yang
berlaku dalam dirinya sebelum ini.
Kaunselor
perlu memberikan tumpuan kepada tingkah laku semasa dan tingkah laku yang
dipilih, ianya perlu sesuai dengan kehendak guru itu mengikut prosedur WDEP.
Saya ambil utk bt rujukan..trima kasih..
ReplyDeletesilakan..^^
ReplyDelete